Isteri solehah pasti pelihara 10 sifat
Oleh Dr Hafidzah Mustakim
DALAM satu program wanita, seorang ibu berumur lewat usia 40-an berbual mesra sambil bertanya kepada saya: "Diam tak diam, saya dah nak dapat menantu lelaki. Along Hasanah akan berkahwin bulan depan, kita ni terlalu sibuk dengan kerjaya dan kehidupan, sehingga tidak perasan anak dah semakin besar dan akan berumah tangga."
Saya membalas : "Kita perlu mengingat dan membekalkan nasihat yang pernah kita peroleh dulu daripada orang berpengalaman dan berilmu kepada mereka.
"Dulu pernah mendengar, pada masa mula-mula hendak kahwin. Tetapi, apa salahnya kita dengar untuk kesekian kalinya. Ia menjadi kata-kata hikmat dan pengajaran yang lebih bermakna. Kita dan ramai kawan masa muda-muda masih ingat nasihat itu."
Perbualan saya dengan wanita itu mengingatkan kepada wasiat seorang ibu solehah pada zaman kegemilangan Islam.
Mari hayati pesanan isteri 'Auf bin Muhlim Ashaibani kepada puterinya ketika hendak bernikah dengan al Haris bin Amr, raja negeri Kandah. Sewaktu utusan diraja hendak membawa pengantin untuk disampaikan kepada raja, ibunya berwasiat kepada anak perempuannya:
"Wahai anakku! Kalaulah wasiat ini untuk kesempurnaan adabmu, aku percaya kau telah mewarisi segala-galanya, tetapi ia sebagai peringatan untuk yang lalai dan pedoman kepada yang berakal.
Andai kata wanita tidak memerlukan suami kerana berasa cukup dengan kedua ibu bapanya, tentu ibumu adalah orang yang paling berasa cukup tanpa suami. Tetapi wanita diciptakan untuk lelaki dan lelaki diciptakan untuk mereka.
Wahai puteriku, Sesungguhnya engkau akan meninggalkan rumah tempat kamu dilahirkan dan kehidupan yang telah membesarkanmu untuk berpindah kepada seorang lelaki yang belum kamu kenal dan teman hidup yang baru. Kerana itu, jadilah 'budak' wanita baginya, tentu dia juga akan menjadi 'budak' bagimu serta menjadi pendampingmu yang setia.
Peliharalah sepuluh sifat ini terhadapnya, tentu ia akan menjadi perbendaharaan yang baik untukmu.
Pertama dan kedua, berkhidmat dengan rasa puas serta taat dengan baik kepadanya.
Ketiga dan keempat, memerhatikan tempat pandangan matanya dan bau yang diciumnya. Jangan sampai matanya memandang yang buruk daripadamu dan jangan sampai dia mencium kecuali yang harum daripadamu.
Kelima dan keenam, memerhatikan waktu tidur dan waktu makannya, kerana lapar yang berlarutan dan tidur yang terganggu dapat menimbulkan rasa marah.
Ketujuh dan kelapan, menjaga hartanya dan memelihara kehormatan serta keluarganya. Perkara pokok dalam masalah harta adalah membuat anggaran dan perkara pokok dalam keluarga adalah pengurusan yang baik.
Kesembilan dan kesepuluh, jangan membangkang perintahnya dan jangan membuka rahsianya. Apabila kamu tidak mentaati perintahnya, bererti kamu melukai hatinya. Apabila kamu membuka rahsianya kamu tidak akan aman daripada pengkhianatannya.
Kemudian janganlah kamu bergembira di hadapannya ketika dia bersedih atau bersedih di hadapannya ketika dia bergembira. Jadilah kamu orang yang sangat menghormatinya, tentu dia akan sangat memuliakanmu.
Jadilah kamu orang yang selalu sepakat dengannya, tentu dia akan sangat belas kasihan dan sayang kepadamu.
Ketahuilah, sesungguhnya kamu tidak akan dapat apa yang kamu inginkan sehingga kamu mendahulukan keredaannya daripada keredaanmu, dan mendahulukan kesenangannya daripada kesenanganmu, baik dalam hal yang kamu sukai atau yang kamu benci dan Allah akan memberkatimu. "
Nasihat di atas seharusnya diterima dengan beberapa asas penting:
l Suami yang dicari adalah suami yang beriman lagi taat kepada perintah Allah.
l Ketaatan kepada suami adalah wajib dengan syarat beliau tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat Allah.
l Begitulah hukum Allah, di sana sentiasa ada 'dua bahagian muka syiling'. Kalau diperhati setiap nasihat di atas, perbuatan kita yang positif akan menghasilkan reaksi dan tindak balas positif juga dengan izin Allah.
Saya sering mengingatkan diri sendiri sebagai isteri dari muda hingga sekarang dan masih sangat mempercayai bahawa: "Kita hanya boleh mengubah diri sendiri. Percayalah apabila kita berubah, persekitaran dan orang di sekeliling juga akan berubah secara positif."
SUATU ketika, ada seorang pedagang kaya yang mempunyai empat orang isteri. Dia mencintai isteri yang keempat dan memberikan harta dan kesenangan yang banyak. Sebab, isteri keempat adalah yang tercantik di antara kesemua isterinya. Maka, tidak hairan lelaki ini sering memberikan yang terbaik untuk isteri keempatnya itu.
Pedagang itu juga mencintai isterinya yang ketiga. Dia sangat bangga dengan isterinya ini, dan sering berusaha untuk memperkenalkan isteri ketiganya ini kepada semua temannya. Namun dia juga selalu bimbang kalau-kalau isterinya ini akan lari dengan lelaki yang lain.
Begitu juga dengan isterinya yang kedua. Dia juga sangat menyukainya. Dia adalah seorang isteri yang sabar dan penuh pengertian. Bila-bila masa pun apabila pedagang ini mendapat masalah, dia selalu meminta pandangan isterinya yang kedua ini. Dialah tempat bergantung. Dia selalu menolong dan mendampingi suaminya melalui masa-masa yang sulit.
Sama halnya dengan isterinya yang pertama. Dia adalah pasangan yang sangat setia. Dia sering membawa kebaikan bagi kehidupan keluarga ini. Dialah yang merawat dan mengatur semua kekayaan dan usaha si suami. Akan tetapi si pedagang tidak begitu mencintainya.
Walaupun isteri pertamanya ini begitu sayang kepadanya namun, pedagang ini tidak begitu memperdulikannya.
Suatu ketika, si pedagang sakit. Kemudian dia menyedari mungkin masa untuknya hidup tinggal tidak lama lagi. Dia mula merenungi semua kehidupan indahnya, dan berkata dalam hati, "Saat ini, aku punya empat orang isteri. Namun, apabila aku meninggal, aku akan sendiri. Betapa menyedihkan jika aku harus hidup sendiri."
Lalu dia meminta semua isterinya datang dan kemudian mulai bertanya pada isteri keempatnya, "Kaulah yang paling kucintai, kuberikan kau gaun dan perhiasan yang indah. Nah sekarang, aku akan mati, mahukah kau mendampingiku dan menemaniku?" Isteri keempatnya terdiam. "Tentu saja tidak!" Jawab isterinya yang keempat, dan pergi begitu sahaja tanpa berkata-kata lagi. Jawapan itu sangat menyakitkan hati seakan-akan ada pisau yang terhunus dan menghiris-hiris hatinya.
Pedagang yang sedih itu lalu bertanya kepada isteri ketiganya, "Aku pun mencintaimu sepenuh hati, dan saat ini, hidupku akan berakhir. Mahukah kau ikut denganku, dan menemani akhir hayatku?" Isteri ketiganya menjawab, "Hidup begitu indah di sini. Aku akan menikah lagi jika kau mati". Pedagang begitu terpukul dengan jawapan isteri ketiganya itu.
Lalu, dia bertanya kepada isteri keduanya, "Aku selalu berpaling padamu setiap kali mendapat masalah. Dan kau selalu mahu membantuku. Kini, aku perlu sekali pertolonganmu. Kalau aku mati, mahukah kau ikut dan mendampingiku? " Si isteri kedua menjawab perlahan, "Maafkan aku…aku tak mampu menolongmu kali ini. Aku hanya boleh menghantarmu ke liang kubur saja. Nanti, akan kubuatkan makam yang indah buatmu."
Jawapan itu seperti kilat yang menyambar. Si pedagang kini berasa putus asa. Tiba-tiba terdengar satu suara, "Aku akan tinggal denganmu. Aku akan ikut ke manapun kau pergi. Aku, tak akan meninggalkanmu, aku akan setia bersamamu."
Si pedagang lalu menoleh ke arah suara itu dan mendapati isteri pertamanya yang berkata begitu. Isteri pertamanya tampak begitu kurus. Badannya seperti orang yang kelaparan. Berasa menyesal, si pedagang lalu berguman, "Kalau saja aku mampu melayanmu lebih baik pada saat aku mampu, tak akan kubiarkan kau seperti ini isteriku."
Teman, sesungguhnya kita punya empat orang isteri dalam hidup ini ;
ISTERI KEEMPAT
adalah tubuh kita. Seberapa banyak waktu dan belanja yang kita keluarkan untuk tubuh kita supaya tampak indah dan gagah, semuanya akan hilang. Ia akan pergi segera apabila kita meninggal. Tak ada keindahan dan kegagahan yang tersisa saat kita menghadapNYA.
ISTERI KETIGA
adalah status sosial dan kekayaan kita. Saat kita meninggal, semuanya akan pergi kepada yang lain. Mereka akan berpindah dan melupakan kita yang pernah memilikinya.
ISTERI KEDUA
pula adalah kerabat dan teman-teman. Seberapa pun dekat hubungan kita dengan mereka, mereka tak akan mampu bersama kita selamanya. Hanya sampai kuburlah mereka akan menemani kita.
DAN SESUNGGUHNYA ISTERI PERTAMA
adalah jiwa dan amal kita. Mungkin kita sering mengabaikan dan melupakannya demi kekayaan dan kesenangan peribadi. Namun, sebenarnya, hanya jiwa dan amal kita sajalah yang mampu untuk terus setia dan mendampingi kemanapun kita melangkah. Hanya amal yang mampu menolong kita diakhirat kelak.
Jadi, selagi mampu, perlakukanlah jiwa dan amal kita dengan bijak. Jangan sampai kita menyesal kemudian hari!
Jendela Hikmah: Pergaulan bebas punca hubungan terlarang
Oleh Prof Madya Dr Umi Kalthum Ngah
PERNAHKAH kita terfikir atau memahami bahawa dengan menjaga batas pergaulan seharian di pejabat, kita boleh mendapat habuan pahala daripada Allah dan keharmonian rumah tangga kekal terpelihara
Melalui pengamatan dan pembacaan masa kini, kita dapati fenomena perhubungan sumbang (zina) antara isteri orang dengan suami orang sudah mula membarah dalam masyarakat Islam kita.
Kadangkala situasi yang memungkinkan berlakunya fenomena itu wujud tanpa disedari. Kata kunci terhadap perkara ini ialah kerana kita tidak sensitif terhadap pergaulan di pejabat. Budaya menjauhi zina tidak lagi menjadi slogan dalam diari pergaulan kita.
Adakah kerana kesibukan dalam tugas pejabat yang memerlukan lebih banyak masa untuk diluangkan di pejabat hingga lepas waktu kerja?
Sememangnya kadangkala keadaan itu tidak dapat dielakkan. Cuma wanita harus lebih peka ruang yang menyebabkan timbulnya fitnah.
Kerja yang bertimbun memaksa wanita berada di pejabat lebih daripada waktu biasa. Selalunya akan ada seorang dua rakan sejawat yang sama-sama terbabit dalam urusan kerja berkenaan atau ketua pun terpaksa memberi tumpuan untuk menghabiskan kerja yang mendesak.
Bayangkan sekiranya rakan sejawat atau ketua itu seorang lelaki (tidak kira sudah beristeri atau tidak). Jika sudah, maka sudah tentu akan lebih parah. Sedikit sebanyak interaksi dan ruang lingkup kerja sebegitu, jika wanita pula tidak berhati-hati, maka amat malang bagi wanita berkenaan.
Mula-mula mungkin keluar makan bersama atau makan nasi bungkus saja di pejabat. Kemudian, sering berbual dan berbicara. Timbul rasa selesa bersama, tempat luahan hati pelbagai masalah, sama ada masalah keluarga, peribadi atau ipar duai.
Jika wanita tidak pandai menjaga diri, maka sudah tentu akan melarat sehingga menimbulkan bibit perhubungan yang tidak diduga. Perkara dua insan ini mungkin berlarutan dan begitu ketara sehingga menjadi bahan gosip pejabat.
Memang tidak dapat dinafikan wanita penyumbang sumber tenaga manusia yang besar dalam pembangunan negara.
Wanita memang perlu berganding bahu dalam melaksanakan tugas di samping tidak mengabaikan tugas asasi di rumah.
Oleh itu, wanita berkerjaya harus mengetahui beberapa perkara sebelum ia keluar menjawat sebarang jawatan.
Di samping itu, lelaki juga perlu memahami adab pergaulan kerana menjaga adab pergaulan lelaki dan wanita adalah tanggungjawab bersama.
Tetapi sebagai wanita yang cerdik dan bijaksana, kita perlu melakukannya kerana kalau bukan kita yang memulakannya, siapa lagi. Kita boleh mengawal diri tetapi tidak boleh mengawal apa yang ada di dalam diri orang lain. Oleh itu, kita mulakan dengan diri kita dulu.
Beberapa panduan berikut harus jelas difahami.
> Niat ikhlas – keredaan Allah SWT
Wanita berkerjaya haruslah mengikhlaskan niat dan meletakkan fokus sebenar mengapa ia memegang sesuatu jawatan. Yang utamanya ialah kerana ingin mendapat keredaan Allah SWT dengan berhubung terus dengan masyarakat dan melaluinya boleh dijadikan contoh teladan seorang muslimat sejati. Antara lainnya juga ialah keluarnya wanita bekerja itu agar amanah tidak diserahkan kepada orang yang tidak layak diberikan amanah berkenaan.
> Isteri yang dihormati
Seharusnya wanita berkerjaya harus sentiasa menjaga akhlaknya sebagai seorang isteri yang setia dan berperibadi tinggi. Jangan sekali-kali mengkhianati keizinan yang telah diberikan oleh suami untuk melakukan perkara yang boleh menimbulkan fitnah.
Perlu diingat bahawa bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Kuasa untuk mengatakan tidak berada di dalam tangan seseorang wanita itu. Jika berlaku gejala gangguan seksual, maka banyak cara dan saluran yang boleh dilakukan untuk mengatasinya.
> Ibu yang dimuliakan
Wanita berkerjaya yang mempunyai anak sudah tentunya tahu apa itu perasaan kasihan belas, sifat timbang rasa, pemaaf, berhikmah apabila berbicara. Sebaik mungkin sifat keibuan ini jelas terpancar di dalam tindak tanduk berurusan sama ada dengan rakan setugas, orang bawahan atau orang luar pejabat.
Dengan itu akan timbul rasa hormat dan jika ini berlaku, pekerja bawahan terutama akan rasa senang untuk melakukan tugas secara suka dan rela tanpa perlu dipaksa serta di arah-arah. Pendek kata, jadilah ibu yang boleh dijadikan contoh (walaupun tidak mungkin dapat meraih anugerah Ibu Mithali), yang ke hadapan dalam hal pendidikan, pembentukan akhlak dan tempat rujukan dalam hal menangani permasalahan berkaitan anak.
> Kerjaya bukan jalan keluar mengatasi kebosanan
Amat malang sekiranya wanita berkerjaya beranggapan bahawa keluarnya ia bekerja ialah jalan mudah untuk mengelak atau melarikan diri daripada tugas seorang suri rumah yang dianggapnya sebagai membosankan.
> Kedudukan di sesuatu tempat kerja adalah aset
Wanita berkerjaya perlu sedar bahawa dengan dia memegang sesuatu jawatan itu, maka dia adalah seorang yang memang boleh diharap, malah mempunyai mutu kerja tinggi. Ini bermakna organisasi di mana ia berada akan merasakan kehilangan seseorang yang amat berharga jika ia tiada. Dalam lain perkataan, ia harus menjadi pekerja cemerlang, bukannya liabiliti.
> Perlu ada suasana nasihat menasihati
Masyarakat sekeliling seharusnya memberi perhatian dan perlu memberi kata-kata nasihat.
Oleh itu, wanita perlu ada rakan wanita lain yang ikhlas nasihat-menasihati.
Surah Al-Asr seharusnya dijadikan panduan dalam amalan.
Jagalah sepenuhnya agar tidak berada dalam suasana yang menyebabkan fitnah yang menimbulkan kecurigaan.
Kadangkala wanita lain agak cemburu dan selalu suka menjatuhkan antara satu sama lain. Paling tidak, ada yang suka melihat perkara sumbang ini berlaku dan menjadikan rakan sebagai bahan gosip panas semata-mata. Kita seharusnya menjauhkan wanita yang tidak boleh dibuat kawan seperti ini, tetapi ini adalah bahan cerita lain yang mungkin boleh diteliti dalam penulisan lain.
> Wujudkan persekitaran komunikasi yang baik dalam rumah tangga
Peranan suami juga tidak kurang pentingnya. Suami memang sibuk dengan urusannya. Adakah suami wanita berkerjaya mengambil berat, suka mendengar luahan rasa hati isteri? Oleh itu, komunikasi rumah tangga menjadi keutamaan.
Suami isteri harus dapat menyelami sanubari masing-masing tanpa perlu mencurahkan pada orang lain, apatah lagi suami orang atau isteri orang.
Suami isteri kenalah semarakkan semula api cinta yang telah terbenam dalam sekam dimamah usia perkahwinan. Jadilah teman berbicara dan telinga yang mendengar untuk pasangan masing-masing.
Sebagai kesimpulan, sekiranya wanita dwi-kerjaya dapat menghadam beberapa perkara yang disebutkan, maka sudah tentulah Allah akan melindungi setiap wanita yang ikhlas menyumbang di luar rumah untuk mendapat keredaan-Nya, membantu menegakkan agama-Nya, kerja tidak menjadi sia-sia malah diberi pahala dan ganjaran.
Dalam masa yang sama, keluarga akan terpelihara, sejahtera dan sentosa, amanlah masyarakat daripada fitnah dan negara akan dapat terus maju membangun.
Jika tidak, maka persoalan harus ditanya pada diri wanita sendiri. Adakah lebih baik kita menyumbang di dalam ruang lingkup rumah kita saja?
# Penulis adalah pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) dan boleh dihubungi di emel: wanitajim0@yahoo. com
Sunday, 11 May 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment